Ia secara jelas bermaksud bahawa Raja-Raja kecewa dengan siasatan
berkaitan 1MDB dan hilang kepercayaan dengan apa yang berlaku dalam
rentetan penyiasatan sebelum ini, lalu membuat gesaan agar ia dapat
diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat dan negara.
Sudah tentu kenyataan Majlis Raja-Raja ini antara
lain ada hubungkaitnya dengan pemecatan Peguam Negara, gangguan terhadap
SPRM, pertukaran beberapa pegawai ke Jabatan Perdana Menteri dan
perlantikan menganggotai pentadbiran kerajaan kepada anggota
Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara, di tengah-tengah mereka sedang
menjalankan siasatan mengenai 1MDB.
Sebab itu, isi kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar
Raja-Raja Melayu bagi pihak Majlis Raja-Raja antara lain berbunyi:-
- selesaikan secepat mungkin siasatan 1MDB dan ambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang terlibat.
- semua pihak harus beri kerjasama sebenar dengan jujur.
- penemuan siasatan hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus.
- kegagalan memberi penjelasan yang meyakinkan dikhuatiri akan mengakibatkan krisis keyakinan di kalangan rakyat.
- rakyat yang percaya, sama ada dengan realiti atau persepsi berkaitan 1MDB akan mempengaruhi kejatuhan nilai ringgit secara mendadak.
- badan-badan penguatkuasa dan institusi kawal selia hendaklah menyempurnakan amanah Tuhan dan kepercayaan rakyat secara telus.
- mengingatkan bahawa kepentingan rakyat dan negara hendaklah mengatasi kepentingan peribadi.
Sukarkah memahami maksudnya? Walaupun tidak disebut perkataan hilang
kepercayaan terhadap tindak-tanduk Najib Razak berhubung siasatan 1MDB
dalam kenyataan itu, hakikatnya memang itulah maksud sebenarnya.
Sebab itu apabila membaca reaksi sepupu Najib, Hishamuddin Hussein yang
mengatakan kenyataan itu tidak bermaksud Majlis Raja-Raja hilang
kepercayaan terhadap Perdana Menteri berhubung siasatan 1MDB, ianya
seratus-peratus tidak benar.
Kata Menteri Pertahanan itu lagi, jika Raja-Raja bermaksud demikian, mereka akan cakap bulat-bulat.
Bagaimanakah Hishammuddin yang beristerikan kerabat Diraja Pahang, tidak memahami maksud sebenar kenyataan Raja-Raja itu?
Bukankah kenyataan dalam bahasa yang mudah itu seharusnya lebih difahami
oleh sesiapa saja, lebih-lebih lagi oleh anggota kabinet kerajaan yang
sepatutnya lebih cerdik memahami yang tersurat dan tersirat.
Kalau ditanya murid-murid sekolah yang akan mengambil peperiksaan SPM
pun, barangkali mereka tidak mengambil masa lebih daripada dua hari
untuk menjawab bahawa kenyataan Majlis Raja-Raja itu memang bermaksud
institusi payung negara itu sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana
Menteri berhubung siasatan 1MDB.
Namun, jika dilihat dengan anggota kabinet kerajaan sekarang, mereka
mengambil masa dua hari untuk memberi reaksi terhadap kenyataan Majlis
Raja-Raja itu dengan setakat ini hanya Hishammuddin, Zahid Hamidi dan
Abdul Rahman Dahlan saja yang bersuara mengenainya.
Tidakkah Hishammuddin sedar bahawa Raja- Raja, golongan Istana dan
kerabatnya adalah kelompok yang sangat berbudi bahasa dengan sering
menggunakan bahasa berkias dan sopan dalam perbualan.
Mereka bukanlah golongan yang mudah mengungkapkan perkataan seperti
haramjadah, bangang, bangsat atau seekor-seekor yang ditujukan kepada
manusia yang lain, walau dalam keadaan marah dan tertekan sekali pun.
Kalau pun Hishammuddin terlalu ingin mempertahankan sepupunya, beliau
tidak seharusnya menolak realiti. Terimalah realiti yang terbentang di
depan mata dan jangan sesekali cuba menutupnya sehingga memalukan
dirinya sendiri sedangkan dengan beristerikan kerabat Diraja, beliaulah
yang sepatutnya lebih memahami maksud sebenar kenyataan Majlis Raja-Raja
itu.
Ada apa-apa nak komen?
No comments :
Post a Comment