Wednesday, 9 December 2015

Khairy Jamaluddin Sindir Siapa Pulak Ni?

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menegaskan Putrajaya tidak seharusnya menaikkan lagi harga barangan dan perkhidmatan kerana rakyat sudah lagi tidak mampu menanggung beban peningkatan kos kehidupan.

Dalam ucapan dasar ketua Pemuda sempena perhimpunan sayap itu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini, Khairy berkata, pihaknya turut membantah kenaikan harga tol selepas ini.

"Awal tadi saya menyebut, jangan kata Pemuda populis. Kalau populis, kita akan suruh hapuskan GST (cukai barang dan perkhidmatan) dan batalkan semua kenaikan ini. Namun Pemuda bertanggungjawab. Kita memahami keperluan itu semua.

"Namun pada masa sama, apabila rakyat semakin terhimpit dengan segala kenaikan ini, kita tidak boleh diam membisu saja.

"Kami tidak minta dimansuhkan itu dan ini, tetapi Pemuda ingin memberitahu kepimpinan parti dan kerajaan, cukuplah! Hentikan semua kenaikan ini. Jangan ada kenaikan lagi," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di hadapan perwakilan Pemuda Umno.

Perhimpunan Agung Umno ke-69  berlangsung hari ini dengan perasmian sayap Pemuda, Wanita, dan Puteri dirasmikan secara berasingan oleh pemimpin masing-masing, memecah tradisi dan amalan mereka sebelum ini yang lazimnya akan dirasmikan timbalan presiden Umno.

Ini susulan keputusan ahli Majlis Tertinggi (MT) parti Melayu itu yang melarang Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan mesyuarat sayap.

Khairy dalam ucapannya berkata, segala kenaikan itu harus dihentikan kerana ia ibarat "mencurah minyak ke dalam api" terhadap kemarahan rakyat.

"Mungkin ada yang tertanya-tanya, ketua Pemuda ahli jemaah menteri. Tidakkah beliau bersuara dalam Kabinet? Ingin saya tegaskan di sini pendirian saya sama di dalam dan di luar Kabinet.

"Bila ada pembentangan yang menambahkan beban, saya sentiasa bersuara untuk cuba elakkan kesengsaraan terhadap rakyat.

"Sebagai contoh, tol lebuh raya. Terpaksa dinaikkan kalau tidak kerajaan kena bayar pampasan RM500 juta. Saya selaku ketua Pemuda mengingatkan Kabinet tentang akujanji BN. Kalau terpaksa naikkan tol, jangan sampai tol antara bandar seperti Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur dinaikkan. Itu janji kita.

"Dan pada hari ini saya ingin tegaskan, Pemuda bantah apa jua kenaikan tol selepas ini baik untuk 2 lebuh raya antara bandar ini, mahupun mana-mana lebuh raya sekalipun," katanya.

Beliau berkata, meskipun sebagai pemimpin beberapa "langkah pedih" terpaksa diambil, namun hakikatnya rakyat sudah tidak lagi boleh menerima kenaikan itu.

"Walaupun kita faham beberapa langkah pedih terpaksa diambil tetapi hakikatnya, rakyat sudah tidak boleh terima lagi dan sudah sampai ke 'breaking point'.

"Jadi cukup-cukuplah. Jangan ditambah lagi bebanan rakyat. Jangan dicurah lagi minyak ke atas api kemarahan rakyat yang marak membara. Pemuda mahu kerajaan hentikan segala kenaikan selepas ini. Enough is enough," katanya yang juga menteri belia dan sukan.

Khairy berkata, Pemuda Umno juga mengharapkan susulan penjimatan daripada GST, rasionalisasi subsidi, kenaikan tarif dan tol, ingin mendengar berita yang "baik-baik" saja selepas ini.

"Dua tahun akan datang ini, oleh kerana kita sudah membuat segala penjimatan melalui GST, pemotongan subsidi, kenaikan tarif, tambang, tol dan sebagainya, Pemuda hanya mahu mendengar berita yang baik-baik dan menyenangkan rakyat saja.

"Inilah masanya kita gunakan segala penjimatan yang dikatakan diperoleh daripada segala langkah pedih ini, untuk menggembirakan rakyat.

"Tunjukkan langkah penjimatan selama ini boleh membawa kebaikan pada mereka," katanya. – 9 Disember, 2015.

[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...