Dua bekas hakim Mahkamah Rayuan tidak bersetuju dengan hujah subjudis
yang dikemukakan oleh pihak kerajaan sebagai sebab Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab soalan di Parlimen berhubung RM2.6
bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya oleh seorang
penderma dari Timur Tengah.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hari ini
berkata perkara subjudis tidak timbul sama sekali, kerana isu itu tidak
didengar di mana-mana prosiding mahkamah.
"Sesuatu siasatan (yang berjalan terhadap sesuatu perkara), bukan satu
prosidng kehakiman. Peraturan mengenai subjudis wujud untuk mencegah
perbicaraan oleh media atau dengan cara luaran yang lain supaya hakim
dan juri tidak akan dipengaruhi oleh faktor-faktor luar dalam membuat
penghakiman atau keputusan," kata Mohamad Ariff kepada Malaysiakini.
Menurutnya, apabila sesuatu isu telah memasuki domain awam dan terdapat
minat kepentingan awam yang mendalam untuk mencari kebenaran terhadap
perkara itu, maka tidak ada isu subjudis jika tidak ada prosiding
kehakiman mengenai perkara itu yang sedang berjalan.
Isu sebenar dalam kes ini, kata Mohamad Ariff ialah kebebasan dan akses
kepada maklumat mengenai perkara yang mempunyai kepentingan awam.
Mohamad Ariff, ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi, menolak prosiding menghina mahkamah yang dibawa Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) terhadap
peguam Fahda Nur Ahmad Kamar berhubung kenyataan beliau mengenai
pengambilalihan industri air, ketika mewakili kerajaan Pakatan Rakyat
Selangor, seperti ia dilaporkan dalam Harakah.
Beliau memutuskan bahawa mahkamah perlu berhati-hati dalam menggunakan
prosiding menghina untuk menyekat kebebasan bersuara dan dalam memetik
Lord Denning, beliau berkata "komen yang adil tidak subjudis terhadap
perbicaraan yang adil".
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said mengumumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,
yang bangun bagi pihak Najib dalam menjawab soalan berhubung derma
RM2.6 bilion di Parlimen, memetik subjudis sebagai sebab Najib tidak
datang sendiri untuk menjawab perkara itu .
Azalina, juga seorang peguam berkata, Najib telah dinasihatkan oleh
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali supaya tidak menjawab perkara
itu di Parlimen kerana ia akan menjadi subjudis untuk berbuat demikian.
Subjudis adalah istilah latin yang bermaksud "dalam pertimbangan
kehakiman", yang bermakna sesuatu kes atau perkara yang sedang dalam
perbicaraan atau sedang dipertimbangkan oleh hakim atau mahkamah.
Seorang lagi bekas hakim Mahkamah bekas Rayuan, Datuk Mohd Hishamudin
Mohd Yunus (gambar) memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak
bersetuju dengan pandangan Apandi itu.
Katanya, beliau tidak fikir bahawa ia adalah subjudis untuk perdana
menteri menjelaskan di Parlimen tentang RM2.6 bilion dalam akaun
peribadinya.
Menurutnya, beliau sehaluan dengan pandangan seperti yang dinyatakan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Sri Gopal Sri Ram
dan Datuk Ambiga Sreenevasan mengapa penjelasan yang diberikan oleh
perdana menteri di Parlimen mengenai RM2.6 bilion tidak akan menjadi
subjudis.
Sumber
Ada apa-apa nak komen?
No comments :
Post a Comment