BAGAN DATOH - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau turut
terkena tempias golongan yang menanam kebencian mendalam terhadap Umno
dan pemimpinnya terutama Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga dikatakan
'kuat kipas', 'kuat tolong' dan 'kuat pertahankan Perdana Menteri'.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau mempertahankan Perdana
Menteri kerana prinsip kesetiakawanan selepas diberikan kepercayaan
untuk membantu Najib.
"...jangan apabila kapal kena ribut atau dilanda gelombang, kita angkat
dan tangkap nakhoda dan campak ke laut. Ini adalah sesuatu yang
mengikut hukum agama sebab dalam perjuangan, sudah pasti setiap pemimpin
akan mengalami ujian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyampaian
sumbangan bantuan persekolahan kepada 2,991 pelajar sekolah rendah dan
menengah di kawasan Parlimen Bagan Datoh di sini hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, meminta agar rakyat tidak
terlalu membenci Umno serta pemimpinnya kerana mereka perlu sedar dan
ingat jasa serta sumbangan parti keramat itu kepada mereka selama ini.
"Umno bukan hanya sebuah parti politik tetapi sebuah institusi sosial
yang bukan hanya menterjemahkan agenda politik tetapi turut mewarnai
pelbagai aktiviti sama ada dalam bidang pendidikan, agama, ekonomi dan
sosial malah yang lebih penting, supaya negara kita menjadi lebih aman
dan damai.
"Itu yang diperjuangkan Umno tanpa meminggirkan mana-mana agama, bangsa
atau mana-mana budaya," katanya yang juga Ahli Parliamen Bagan Datoh.
Justeru, katanya, Umno sebagai parti pemerintah sanggup membuat
pelaburan dalam bidang pendidikan seperti membantu membayar yuran
pelajar, menyediakan duit poket serta buku teks.
"Tidak ada sebuah negara di dunia ini, sama ada kaya, membangun atau
miskin, apabila pelajarnya dihantar ke sekolah ibu bapa tidak perlu
membayar yuran, kerajaan yang tolong bayarkan.
"Malaysia sahaja yang berbuat demikian, bukan setakat itu, anak-anak
yang miskin dapat bantuan sarapan, pakaian dan duit poket," katanya.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid. - Bernama
Sumber
No comments :
Post a Comment