Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat Umno tidak seharusnya gopoh dalam mengambil tindakan terhadap timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya berlaku pelanggaran perlembagaan parti.
Naib presiden Umno itu berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum sebarang tindakan diambil terhadap Muhyiddin.
"Saya tidak fikir ia perlu bergopoh-gapah. Daripada segi tindakan dan kebijaksanaan, presiden menjadi keutamaan.
"Kami dengar suara akar umbi dan perwakilan dan kita akan serahkan keputusan yang dibuat waktu bila sekalipun, untuk presiden tentukan.
"Bukan kerana kami mahu supaya tindakan itu dilakukan dengan bangga, tetapi kami merasakan beberapa perkiraan perlu diberi keutamaan.
"Agar sekali air bah, sekali pantai berubah," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini yang turut dihadiri seorang lagi naib presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Zahid juga diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung siasatan terhadap Muhyiddin.
"Itu tatacara dan etika yang ada dalam Perlembagaan Umno. Kertas siasatan dipersiapkan ibu pejabat untuk melihat jika ada aspek yang dikemukakan orang berkenaan melanggar perlembagaan parti, peraturan dan tata etika," katanya.
Semalam, Zahid juga berkata, Muhyiddin akan dikenakan tindakan jika melampaui batasan.
Menggunakan analogi "rakit", Zahid hari ini berkata, kebersamaan dalam Umno ibarat ikatan pada kayu yang menjadikannya sebuah rakit.
"Kebersamaan dan kekitaan seperti ikatan pada kayu-kayu yang menjadi rakit. Tarik ikatan jangan putus agar kayu itu tidak hanyut. Eloklah tali itu diikat semula. Walau ada tali putus, biarlah hanyut dengan air yang deras," katanya.
Beliau berkata sekiranya rakit itu kukuh, penumpang rakit akan dapat belayar bersama-sama dan tidak akan tenggelam.
"Kita harus berada dalam satu ikatan kebersamaan kerana rakit itu pelampung yang boleh menampung supaya mereka yang ada atas rakit tidak tenggelam.
"Deras mana air, setinggi mana jurang. Kita harap penumpang tidak tercampak dari rakit dan rakit tidak tenggelam," katanya.
Malah menteri dalam negeri itu berkata, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak adalah seorang "pendengar" yang baik, walaupun wujud perbezaan pendapat.
"Presiden tidak pernah menolak perbezaan pendapat. Beliau seorang pendengar yang baik.
"Jika seseorang nak suarakan pendapat berbeza, perlu gunakan ruang tertutup. Bukan platform lain," katanya.
Sementara itu, Hishammuddin juga berkata, kenyataan yang berbeza tidak seharusnya disalurkan secara terbuka sehingga menjejaskan parti.
"Jangan keluar daripada saluran yang ada sehingga menjejaskan parti. Realitinya, ada majlis taklimat menjurus kepada sayap-sayap.
"Suara sumbang yang keluar daripada saluran itu, kalau menjejaskan parti, parti akan menolak individu berkenaan. Parti lebih besar daripada individu atau personaliti," katanya yang juga menteri pertahanan.
[ Sumber ]