Datuk Ahmad Maslan tidak jemu-jemu memberikan kata nasihat mengenai cara menangani kos sara hidup yang tinggi, walaupun teruk dikritik susulan kenyataannya minggu lepas yang menggalakkan rakyat berpendapatan rendah melakukan 2 pekerjaan dalam satu masa.
Timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu bagaimanapun kelihatan lebih berhati-hati dalam hujahnya hari ini, dengan mengingatkan rakyat agar berusaha memperolehi rezeki yang halal.
"Cari rezeki yg halal. 9/10 punca kekayaan drpd sumber perniagaan, pesan Nabi. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih," beliau menulis tweet pagi ini menggunakan hashtag #TambahPendapatan.
Beliau turut mencadangkan pendapatan yang lebih tinggi boleh diperoleh melalui pendidikan, latihan semula dan keusahawanan.
"#TambahPendapatan 2016 ini dgn formula PKPK; Pendidikan, Kemahiran, Produktiviti, Keusahawanan. Mulakan usaha jangka pendek & panjang," katanya.
Cadangan Ahmad kepada golongan berpendapatan rendah minggu lepas, supaya melakukan 2 kerja bagi menyelesaikan masalah beban kos kehidupan, menerima kecaman di media sosial, lebih-lebih lagi apabila beliau mendakwa beliau sendiri melakukan 3 kerja.
Golongan kelas pekerja juga turut mengeluh kerana saranan timbalan menteri Umno itu sudah dilakukan ramai antara mereka selama ini tetapi masih bergelut untuk meneruskan kehidupan.
Ketua penerangan Umno itu kemudian mempertahankan kenyataannya, mengatakan beliau hanya berniat baik apabila mencadangkan selain daripada pekerjaan tetap yang sedia ada, rakyat Malaysia boleh membuat perniagaan atas talian.
Cadangan beliau supaya rakyat melakukan perniagaan atas talian di samping pekerjaan harian mereka juga mengundang kritikan, dengan ada yang membangkitkan perlakuan itu mungkin melanggar peraturan perkhidmatan awam semasa waktu bekerja.
Ahmad hari ini turut mengambil langkah berjaga-jaga supaya kata-katanya tidak terus dipertikaikan dengan memberi peringatan tambahan dalam tweetnya agar mereka tidak melanggar peraturan di tempat kerja.
"#TambahPendapatan dgn kerja sedia ada + niaga atas talian kpd yg minat waktu mlm & hujung minggu.Ikuti peraturan kpd yg dgn Kjaan/swasta," tulis ahli Parlimen Pontian itu. – 2 Januari, 2016.
[ Sumber ]
No comments :
Post a Comment