Friday 8 December 2017

Kalau benar anak jantan, buka sangkar ayuh bertarung

Kalau dalam ilmu persilatan, ia ibarat gayung bersambut. Dalam seni berpandu, sudah dijual seeloknya dibeli pula.

Ia bermula dengan pantun mengusik Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Datuk Seri Najib Razak ketika kedua-dua mereka - bersama isteri masing-masing - bertemu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Anwar ditempatkan di HKL selepas selamat menjalani pembedahan pada bahunya baru-baru ini.
Menggunakan pantun lama Melayu Anwar mengemas kini media sosialnya selepas diziarahi Najib itu.

Tuai padi antara masak,
esok jangan layu-layuan;
ziarah kami antara nampak,
esok pilihan raya lawan tetap lawan.

Semalam semasa menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno Najib membeli pantun Anwar.

Burung merpati terbang sekawan,
hinggap seekor di atas dahan;
kita sahut ‘lawan tetap lawan’,
di pilihan raya bertarunglah seperti anak jantan.

Hari ini Naib Presiden PKR, Tian Chua pula membeli pantun Najib.


Jelas menjawab usikan Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur itu, Tian membalas pantun berkenaan.

Menariknya, pantun Tian yang dipaparkan di Twitter itu lebih bersifat mencabar.
Gagak berlagak di atas dahan,
rajawali dihambat dalam kurung;
kalaulah benar anak jantan,
buka sangkar ayuh bertarung!

Untuk memastikan pantun itu sampai ke sasarannya, Tian yang juga anggota parlimen Batu memetik akaun Twitter Najib.


https://www.malaysiakini.com/news/404880
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...