Wednesday 18 April 2018

Logo Dacing Yang Sebenar Berwarna Kuning Emas!

PETALING JAYA: PPBM mempersoalkan sama ada penggunaan lambang “dacing” oleh Barisan Nasional (BN) sah di bawah undang-undang pilihan raya dan pertubuhan, sambil mendakwa ia tidak termaktub dalam perlembagaan gabungan itu.

“Walaupun Barisan Nasional pernah beberapa kali meminda Perlembagaan parti, yang terkini adalah pada 2013 ketika Perdana Menteri Najib Razak, namun masih tidak ada mana-mana pindaan yang dibuat untuk memasukkan lambang/logo sah pada Perlembagaan Barisan Nasional itu,” kata peguam PPBM, Haniff Khatri Abdullah.

Haniff bagaimanapun berkata terdapat deskripsi mengenai lambang BN pada Fasal 16 perlembagaan itu, tetapi mempersoalkan jika ia sama dengan lambang dacing yang digunakan pada setiap pilihan raya.

“Lambang, lencana dan bendera Barisan Nasional adalah dacing yang berwarna kuning emas dan berlatar belakangkan warna nila kandi,” menurut fasal itu seperti dipetik Haniff.

“Butiran berkaitan lambang/logo yang tertulis pada Perlembagaan Barisan Nasional adalah dacing yang berwarna kuning emas dan bukan dacing berwarna putih.
“Parti Barisan Nasional telah pun melakukan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 50 Akta 335, di atas ketiadaan lambang/logo yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) selama ini,” katanya merujuk Akta Pertubuhan 1966.

Haniff menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak borang pencalonan dari BN pada hari penamaan calon pada 28 April nanti.

Menurutnya, calon BN perlu bertanding di atas tiket Bebas dengan logo yang disediakan SPR, atau menggunakan mana-mana logo parti komponennya kecuali logo Umno.

Haniff berkata ia kerana “Umno sendiri merupakan sebuah parti yang tidak sah dan terbatal” kerana tidak mengadakan pemilihan cawangan sebelum 28 Februari lalu.

Kenyataan Haniff itu ekoran beberapa kenyataan PPBM yang mengkritik RoS, yang dituduh tidak mahu menjelaskan sama ada langkah 4 parti PH untuk menggunakan hanya logo PKR pada pilihan raya akan datang bakal menghadapi masalah.

Keputusan itu diambil susulan arahan pembubaran sementara terhadap PPBM oleh RoS awal bulan lalu, menyebabkan parti itu tidak boleh bertanding menggunakan logo Bunga Raya yang didaftarkan.

Sebelum itu, PH mengemukakan permohonan untuk menggunakan logo bersama, dalam usaha mahu bertanding sebagai satu gabungan seperti BN.

Permohonan itu bagaimanapun masih tidak diluluskan RoS.

Sumber
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...