Monday, 7 December 2015

Kesilapan Besar Yang Akan Membuat Najib Menyesal?

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap telah melakukan kesilapan besar apabila mewakilkan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjawab kontroversi berkaitan derma RM2.6 bilion di Parlimen.

Pandangan itu dibuat oleh penganalisis politik, Dr Jeniri Amir apabila menyatakan pendapat, Najib sepatutnya berani berdepan dengan Ahli Parlimen untuk menjawab isu berkenaan kerana jika tidak ia akan memburukkan lagi keadaan.

“Dalam keadaan sekarang, langkah ini bukan membantu meyakinkan rakyat tetapi mengukuhkan lagi ketidakyakinan rakyat tentang keraguan mereka terhadap isu ini.

“Justeru, ini menjejaskan terus dari segi populariti ranking beliau sebagai Perdana Menteri. Itu tidak dapat dinafikan. Boleh tanya rakyat, pandangan ini pasti sama dengan pendirian saya,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut, Dr Jeniri berkata, kemunculan Ahmad Zahid dalam menjawab itu berkenaan sama sekali tidak membantu Najib lebih-lebih lagi kenyataan yang dibacakan olehnya terlalu ringkas tanpa sesi perbahasan atau pertanyaan.

“Menteri yang menjaga Parlimen itu berjanji kepada rakyat bahawa Najib akan menjelaskannya dan tiba-tiba diumumkan PM tidak dapat menjawabnya kerana ‘sub judice’. Soal ‘sub judice’ ini tidak relevan dalam konteks isu ini.

“Saya fikir rakyat tidak percaya dengan alasan itu. Lebih-lebih lagi penjelasan itu hanya beberapa minit, jadi, mana mungkin rakyat boleh percaya penjelasan yang pendek itu?

“Rakyat mengharapkan penjelasan yang komprehensif dan menyeluruh jadi, dengan jawapan yang seringkas itu, saya fikir lebih banyak soalan daripada jawapan. Rakyat makin meragui dan mempertikaikan dari segi kewibawaan,” katanya.

[ Sumber  ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...