Tuesday, 8 December 2015

Najib Mungkin Akan Ditahan Di Bawah Akta Keselamatan SOSMA?

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perhatian malam ini, pada satu sesi khas menjelang Perhimpunan Agung Umno minggu ini, di mana Muhyiddin selaku timbalan presiden parti dinafikan ruang bercakap susulan perselisihan beliau dengan presiden Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin mencadangkan pada perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur itu, tiba masanya tempoh seseorang presiden memegang jawatan dihadkan.

Beliau juga menggesa Najib untuk "berehat seketika" daripada tugas sebagai perdana menteri sementara menunggu siasatan terhadap skandal kewangan yang didakwa membabitkan beliau selesai.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau mahu menghadiri Perhimpunan Agung Umno itu bagi memastikan sama ada akaun parti mengambil kira wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib, memandangkan ia dikatakan sumbangan derma politik.

Dr Mahathir juga memberitahu hadirin supaya menolak Najib atau berdepan risiko menjadi "pengemis di negara sendiri".

Acara malam ini menyaksikan kehadiran begitu ramai orang yang bersesak memenuhi dewan dan melimpah keluar hingga ke atas jalan.

Ramai yang bersorak setiap kali Muhyiddin dan Dr Mahathir menyeru Najib supaya bertanggungjawab ke atas skandal yang didakwa melibatkan firma pelaburan milik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan wang RM2.6 bilion itu.

Tindakan Muhyiddin menggunakan platform alternatif malam ini diambil selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan memecah tradisi di mana timbalan presiden parti tidak dibenar merasmikan pembukaan perhimpunan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, membuatkan beliau tidak dapat bercakap langsung kepada perwakilan yang hadir.

Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran dalam satu rombakan kabinet Julai lalu selepas beliau secara terbuka mempersoalkan Najib berhubung 1MDB dan wang RM2.6 bilion itu.

Sementara itu, Dr Mahathir yang dulunya menyokong Najib, kini merupakan pengkritik tegar perdana menteri kerana isu yang sama. – 7 Disember, 2015.

Berikut laporan lintas langsung The Malaysian Insider:


8.15pm: Sekumpulan ahli Umno mengedarkan kenyataan tidak bertandatangan dari gabungan ketua-ketua cawangan yang baru ditubuhkan, Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), menuntut Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berundur.

8.18pm: Muhyiddin tiba di Kelab Sultan Sulaiman dan memasuki bilik menunggu.

Di luar, sekumpulan orang menjual kemeja-T mengisytiharkan sokongan kepada Muhyiddin, dengan kata-kata "Kami Bangga", bersama-sama dengan gambar bekas timbalan perdana menteri itu dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengkritik utama Datuk Seri Najib Razak.

8.20 pm: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di tempat perhimpunan.

Antara yang turut hadir ialah pemerhati Umno dan pengarang veteran kumpulan New Straits Times Press, Datuk A Kadir Jasin dan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang didakwa cuba mensabotaj ekonomi susulan tindakannya membuat laporan terhadap 1MDB dengan pihak berkuasa asing.

8.24pm: Pengkritik utama 1MDB Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memberitahu pemberita: "Saya mahu memberi sokongan moral kepada Muhyiddin. Jika dia disekat daripada bercakap, tidak salah dia adakan semua ini kerana dia masih timbalan presiden. Jangan persoalkan kesahihan program ini, semua orang bebas bercakap.

"Kita berpegang kepada perjuangan Umno sebenar, bukan pengecut seperti Najib.

"Najib boleh lakukan apa sahaja yang dia mahu kepada saya, saya akan melawan Najib sehingga tangannya digari."

8.26pm: Seorang ketua kampung dari Pagoh, kawasan Parlimen Muhyiddin di Johor, berkata empat buah bas digunakan mengangkut penyokong untuk acara malam ini.

Turut hadir, Tamrin Ghafar, anak bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba, dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, yang juga digugurkan dari Kabinet pada Julai lalu kerana secara terbuka mempertikai tindakan Najib.

8.30pm: Tan Sri Muhyiddin Yassin memasuki dewan yang padat dengan hadirin, yang mempunyai kapasiti 500 tempat duduk. Orang ramai menjerit "Hidup Umno! Hidup Muhyiddin! Hidup Tun Mahathir!"

Ruang berdiri hanya terdapat di belakang dewan. Di luar, orang ramai dianggarkan berjumlah kira-kira 500 orang dan melimpah hingga ke jalan. Tiga khemah didirikan untuk hadirin berlindung dari hujan renyai yang mula turun.

8.36pm: Seorang ahli PAS dari Kampung Baru, hanya mahu dikenali sebagai Haji Mat, 67, memberitahu The Malaysian Insider: "Saya datang kerana saya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keadaan hari ini semakin teruk. Kita tidak lagi boleh bergantung kepada pembangkang. Saya berdoa Muhyiddin menjadi perdana menteri."

8.42pm: Bekas ketua Wanita Umno Langkawi yang dipecat, Anina Saadudin tiba, diiringi peguamnya Mohd Haniff Khatri Abdulla. Anina cuba mencabar pemecatan beliau di mahkamah tetapi gagal selepas Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu di bawah Akta Pertubuhan yang menganggap keputusan sesebuah parti politik sebagai muktamad.

8.57pm: Muhyiddin, memakai baju Melayu merah, berdiri di podium dan mula berucap. Di luar, orang ramai mula duduk di atas tanah dan jalan raya untuk mendengar ucapan.

Ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin..

9.07pm: Muhyiddin berucap: "Setiap tahun saya dijemput merasmikan perhimpunan sayap, tetapi tahun ini entah mengapa Majlis Tertinggi (MT) putuskan saya tidak berucap, saya tidak tahu mengapa. Setelah MT buat keputusan itu, saya terima banyak permintaan untuk sampaikan sedikit amanat sebelum PAU bermula.

"Taat dan setia saya kepada Umno tetap utuh. Apatah lagi ramai yang tampil datang memberi sokongan untuk terus berjuang di landasan yg benar, mereka mahukan saya berkata benar dan jangan sekali berundur.

"Sebagai seorang Islam menjadi kewajipan saya menyatakan kebenaran menentang kemungkaran. Saya tidak akan biar kemungkaran yang nyata bermaharajalela tanpa ditentang, khususnya melibatkan agama, bangsa, negara."

9.10pm: Muhyiddin berkata, Allah berjanji kebenaran akan muncul dan kebatilan akan hancur.

"Sebagai orang Islam kita wajib percaya tiada sebenar-benar janji melainkan janji Allah," katanya.

Beliau kemudian mengucapkan terima kasih kepada GKCM dan penganjur acara malam ini kerana menyediakan platform untuknya bercakap. Dia berterima kasih kepada penyokong lain, menyebut nama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal.

9.15pm: Muhyiddin mula bercakap tentang 1MDB, mempersoalkan pelaburannya dan hutangnya, dan bertanya jika wangnya itu "dilabur atau lebur".

Beliau berkata apa yang rakyat mahukan hanya siasatan yang telus ke atas 1MDB dan jawapan yang jelas. Beliau menyebut akhbar mingguan The Edge dan The Edge Financial Daily, yang digantung penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri kerana laporan mereka mengenai dakwaan skandal 1MDB.

9.21pm: Beliau menyindir janji Najib untuk menyelesaikan masalah 1MDB dalam masa "enam bulan", menyifatkannya "a moving deadline" (tarikh akhir yang bergerak). Sesetengah orang memanggilnya skim penipuan, kata Muhyiddin.

Wang yang diperoleh daripada pelaburan, bukan menambah kepada pendapatan negara, tetapi digunakan untuk membayar hutang.

"Bukan masuk tabung untuk rakyat, tapi bayar hutang."

Sewajarnya mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan, katanya.

9.23pm: Muhyiddin berkata, beliau dan 6 pemimpin veteran Barisan Nasional yang lain, yang mengadakan sidang akhbar bersama mengutuk tindakan kerajaan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma terhadap pengkritik 1MDB, terbukti benar akhirnya. Ini kerana mahkamah memutuskan dakwaan cubaan mensabotaj ekonomi itu bukan satu kesalahan keselamatan.

9.26pm: Najib sebagai perdana menteri mesti bertanggungjawab terhadap keadaan dalam negara ini, kata Muhyiddin kepada orang ramai.

"Bolehkah PM dan presiden parti lepas dari tanggungjawab dalam isu ini di mana negara sedang dikorbankan untuk menyelamatkan perniagaan yang tidak perlu ini?" katanya.

9.33pm: Muhyiddin kemudiannya menyentuh mengenai sumbangan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib. Beliau berkata, rakyat tidak percaya dengan penjelasan yang diberikan Najib dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, orang ramai meminta Najib memulangkan wang itu kepada Umno dan Barisan Nasional jika dana itu benar-benar satu derma politik bertujuan untuk parti pemerintah itu.

"Tidak ada kes terhadap 1MDB di mahkamah lagi, jadi kita boleh mengemukakan soalan," katanya.

Beliau juga menyebut mengenai kempen "Di mana RM2.6 bilion?" pembangkang.

"Bagaimana nak jawab jika orang berkempen pakai t-shirt yang bertanya 'mana RM2.6 bilion' semasa pilihan raya akan datang?" Muhyiddin bertanya orang ramai.

9.39pm: "Saya cadangkan mungkin PM berehat seketika," kata Muhyiddin.

"Ambil cuti hingga selesai. Supaya siasatan berjalan dengan bebas, telus dan adil. Supaya orang lihat tidak ada campur tangan dalam siasatan.

"Kita doakan PM tak terlibat. Kalau tiada kesalahan, balik semula sambung tugas.

"Dengan cara itu orang yakin, percaya kepada kita. Saya percaya, imej PM dan Umno dapat dipulihkan.

9.46pm: Orang ramai di luar bersorak apabila Muhyiddin mengkritik Najib. Timbalan perdana menteri yang dipecat itu menggesa 3 juta ahli Umno untuk bersuara, kerana ketika ini hanya beberapa pemimpin yang berbuat demikian.

"Jika tiga juta ahli bersuara, ia akhirnya akan membawa perubahan".

Muhyiddin menegaskan beliau akan menghadiri perhimpunan agung tahunan Umno minggu ini, dan begitu juga Datuk Seri Shafie Apdal.

"Saya tidak pasti jika saya akan diberi peluang bercakap atau tidak. Kenapa dia takut saya bercakap?" soalnya kepada Najib.

9.50pm: Muhyiddin menyentuh perhimpunan agung Umno yang akan bermula malam esok di mana beliau dihalang daripada berucap atau membuat hujah penggulungan.

"Saya diberitahu mungkin 1MDB tidak akan disentuh. Cari sesiapa asal sokong, sokong, sokong. Itu boleh.

"Mungkin isu RM2.6 bilion tidak akan disentuh. Jangan fikir menutup isu ini, tidak benarkan ahli akar umbi bercakap, boleh selamatkan pimpinan.

"Adakah sudah tiada demokrasi dalam Umno? Apakah ada sindrom bisu? Demokrasi untuk pemimpin tertentu? Sejak bila pula pemimpin Umno kebal?

10pm: Muhyiddin mencadangkan Umno menghadkan tempoh presiden kepada dua penggal sahaja. Satu penggal ialah tiga tahun, dan Umno biasanya mengadakan pemilihan parti setiap tiga tahun.

"Politik wang dan insentif kini menjadi barah dalam Umno," katanya.

10.05pm: Media sosial penuh dengan mesej yang menggesa Najib berundur, kata Muhyiddin.

"Saya lihat di Facebook saya. Selain komen mengenai kos sara hidup, banyak desakan supaya Najib berundur.

"Kalau tak percaya, boleh semak. Kalau tak percaya, semak Facebook Najib sendiri. Twitter beliau," katanya, disambut sorakan gemuruh hadirin.

Kemudian, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak dengan senang menganggap Umno sebagai parti Melayu akan berjaya mengekalkan undi Melayu untuk selamanya.

10.17pm: Muhyiddin selesai berucap. Sebelum mengakhiri, beliau berkata, beliau tidak meminta Najib meletak jawatan untuk kepentingan peribadi.

"Ini pandangan rakyat. Jadi, apa yang boleh saya katakan kepada Najib? 'Tuan, buatlah keputusan anda. Tanya hati nurani moral anda. Lakukan perkara yang betul untuk negara'."

Katanya, beliau kini sudah menjalankan tanggungjawabnya kepada parti dengan bercakap kepada orang ramai malam ini.

"Saya mungkin dipecat daripada parti. Saya menjadi bahan celaan seolah-olah melakukan dosa besar. Tetapi saya tidak lakukan kesalahan.

"Saya lakukan atas dasar prinsip, atas dasar agama. Saya sedia berkorban demi prinsip parti dan bukan kepentingan peribadi.

Ucapan Tun Dr Mahathir

10.18pm: Dr Mahathir mengambil alih podium dan memulakan ucapan. Orang ramai bersorak kuat.

10.31pm: Dr Mahathir memberitahu hadirin, pemimpin bertanggungjawab mendengar suara rakyat dan melindungi kepentingan mereka, kerana mereka mendapat kuasa daripada rakyat yang memilih mereka.

"Hari ini, malam ini, kita berhimpun kerana prinsip itu diabaikan, diketepikan. Rakyat tak diberi hak menyuarakan pendapat. Mereka cuma boleh kata 'ya' kepada apa sahaja dikatakan pemimpin.

"Ini bermakna kita tak demokratik. Kita jadi parti pemimpin berkuasa mutlak.

"Timbalan presiden tak dibenar bercakap, naib tak dibenar. Ahli dipilih hanya yang berkata 'ya' sahaja.

"Mereka dilarang sebut perkara tertentu, umpamanya 1MDB, RM2.6 bilion," katanya.

10.42pm: Dr Mahathir berkata, Najib yang sepatutnya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma, bukan pengkritik 1MDB seperti Khairuddin.

"Membuat laporan dianggap perbuatan ganas, jadi dia ditangkap di bawah Sosma.

"Najib yang patut kena tahan bawah Sosma, sebab dia yang jejaskan demokrasi," katanya.

Bekas perdana menteri itu menegaskan, "kita bukan nak gulingkan kerajaan, kita nak gulingkan Najib."

10.46pm: Dr Mahathir bertanya mengapa polis memilih untuk menyoal beliau daripada ribuan orang yang menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada hujung Ogos lalu, yang diadakan bagi menuntut pembaharuan demokrasi dan peletakan jawatan Najib.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, beliau tidak menyokong tuntutan Bersih untuk pembaharuan, tetapi hadir pada perhimpunan itu kerana mahu Najib berundur.

"Ada 50,000, 60,000 orang, kenapa tanya saya sahaja. Patut diadakan satu deretan 60,000 orang menunggu untuk disoal. Tapi saya dipanggil, mereka tak dipanggil.

"Yang kena panggil, anak Azmin (timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali), budak umur 15 tahun, kerana hadir Bersih.

"Kalau ikut undang-undang negara, ia tak jadi jenayah. Yang jadi jenayah respon kepada kumpulan Bersih."

10.50pm: Mengenai derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib, Dr Mahathir bertanya sama ada presiden parti itu sudah memulangkan wang itu kepada Umno, memandangkan dana itu dikatakan sebagai sumbangan politik.

"Bukannya salah, saya hanya bertanya."

Beliau berkata beliau hendak menghadiri perhimpunan agung Umno bagi mendengar pembentangan penyata akaun Umno tahun ini, sama ada wang RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun Najib itu diambil kira.

11pm: Dr Mahathir mengakhiri ucapannya, mengingatkan orang ramai agar "tidak menerima Najib dalam apa jua bentuk".

"Tiada risiko, tiada keuntungan. Jika kita tidak melawan, kita jadi mangsa.

"Suatu hari nanti, kita buka mata, dan kita dapati negara sudah hilang dan kita jadi pengemis di negara kita sendiri," kata bekas perdana menteri itu.


[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...