Thursday 14 January 2016

Bukti Negara Semakin Miskin, Pelajar Disuruh Bekerja

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh sekali lagi menegaskan tidak timbul isu mahasiswa kebuluran akibat masalah kewangan di universiti.

Sebaliknya, anggota Parlimen Besut itu berkata pelajar tidak sepatutnya menghadapi masalah kewangan dan sekiranya mahu duit lebih mereka perlu bekerja.

"Masalah pelajar lapar itu ada, kadang saya pun lapar juga.

"Kadang-kadang bukan sebab duit tak cukup dan duit itu sebenarnya ada tapi kalau kerja dapatlah duit lebih sikit dan kalau kita kerja dan bergaul kita dapat tahu lebih mengenai masalah-masalah yang ada dalam alam pekerjaan," kata Idris.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya sebentar tadi.

Malah, Idris berkata beliau juga ketika bergelar pelajar dulu membuat banyak kerja bagi menampung kos sara hidupnya.
"Bekerja (belajar sambil bekerja) ini bukan perkara baru. Saya pun masa belajar dulu buat banyak kerja. Saya pernah bekerja sebagai penghantar piza di Dominos Pizza, kerja di stesen minyak, jadi 'jockey'.

"Tidak ada masalah untuk bekerja sebab kita dapat duit lebih sikit untuk tampung pelajaran saya," katanya.

Mengulas lanjut, Idris berkata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEP) di setiap universiti awam dan institusi pendidikan di negara ini telah diarahkan untuk mengenal pasti dan membantu pelajar yang memerlukan bantuan selain menegaskan bahawa isu kebajikan pelajar sentiasa mendapat perhatian kerajaan.

Malah, Idris berkata nasib pelajar sentiasa akan terbela melalui Tabung Kebajikan Mahasiswa seluruh universiti awam yang berjumlah RM15 juta.

Justeru, Idris menyifatkan isu pelajar kebuluran ini sebagai selesai.

"Saya anggap kita boleh tutup kes ini dan sepatutnya sudah tidak ada isu mengenainya.

"Kerana setiap universiti ada dana yang mencukupi dan saya telah minta semua pihak universiti (pastikan) perkara tersebut tidak berlaku," tegas Idris.

Tambah Idris lagi, beliau turut menyeru semua pihak termasuk media memainkan peranan dalam membantu menyebar luaskan mekanisma kebajikan pelajar yang telah pun sedia wujud dan bukan mengekploitasikan fakta yang tidak benar.

Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...