Tuesday, 5 January 2016

Inilah Sebabnya Najib Ingin Malaysia Sertai TPPA

PETALING JAYA: Rakyat diminta supaya bersikap adil terhadap kerajaan berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang bakal dimeterai.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Dr Mustapa Mohamed berkata demikian berikutan kritikan ramai pihak terhadap TPPA, walaupun mereka itu masih belum memahami tindakan kerajaan sepenuhnya.

Katanya, pengkritik perlu banyak membaca dan menghadiri sesi penerangan yang dibuat oleh kerajaan untuk memahami kebaikan TPPA dengan lebih jelas.

“Kita diperingkat kerajaan mahu masyarakat bersikap adil kerana sesetengah yang melontarkan pandangan mengenai TPPA seolah-olahnya buruk belaka.

“Kerajaan akui bahawa ada cabaran dan ada pihak-pihak yang terkesan. Namun secara keseluruhannya kita juga berpendapat ia menguntungkan kerajaan Malaysia.

“Apa yang perlu dilakukan adalah rakyat perlu baca dan kena adil. Kita yakin kebaikan TPPA melebihi cabaran yang dihadapi,” katanya dalam satu temubual khas mengenai TPPA yang disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (TV1).

Mengulas lanjut, Mustapa berkata rakyat seharusnya lebih berani menerima perubahan yang ingin dilakukan oleh kerajaan.

Katanya, tindakan pemerintah demi kebaikan untuk rakyat dan negara.

“Kita perlu akur bahawa setiap benda baru akan menimbulkan keresahan dan ketakutan. Namun dunia sudah berubah.

“Namun yakinlah perubahan itu akan membawa kebaikan sama seperti TPPA,” ujarnya.

Rundingan TPPA dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015 di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia harus membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian itu selewat-lewatnya pada dua minggu pertama 2016.

Rundingan TPPA yang julung kali dilancar pada 2005, membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.

[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...