Saturday, 28 March 2015

Najib Makin Menggelupur.. Saksikanlah Pendedahan Ini

1. UMNO telah mengadakan majlis penerangan tertutup yang dihadiri oleh sebahagian dari Ketua-Ketua Bahagian pada 8 Mac. Keputusan majlis mengikut akhbar ialah menyokong penuh Presiden parti.


2. Tidak diketahui tentang penjelasan oleh Presiden berkenaan kontroversi 1MDB, yang sedang dibincang dengan meluas oleh rakyat. Bahawa perkara ini dibawa oleh parti lawan, justeru itu ia adalah fitnah belaka tidak mencukupi untuk rakyat menolak tuduhan-tuduhan berkenaan 1MDB.

3. Rakyat masih tidak puas hati berkenaan 1MDB. Mereka bincang perkara ini dimana sahaja. Jika mereka tidak puas hati dan tidak sokong Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang, BN mungkin kalah. Dan jika BN ditolak, sokongan kepada Presiden oleh pemimpin bahagian UMNO tidak lagi bermakna.

4. 1MDB bukan buat hutang biasa seperti Kerajaan yang biasanya berjumlah hanya ratusan juta sahaja. 1MDB telah hutang berbillion Ringgit. Walaupun 1MDB bukan Kerajaan tetapi ia adalah badan yang ditubuh dan dimiliki oleh Kerajaan sepenuhnya dengan modal sebanyak 1 juta Ringgit. Ada juga jaminan oleh Kerajaan terhadap beberapa hutang 1MDB. Oleh itu Kerajaan tidak boleh dakwa bahawa ini masalah syarikat dan bukan masalah Kerajaan.

5. Kerajaan sudah melantik Auditor General untuk memeriksa akaun 1MDB. Tetapi ini tidak akan menjawab banyak soalan yang telah dikemukakan dan dibincang oleh rakyat.

6. Dakwaan-dakwaan yang telah dibuat terhadap 1MDB bukan berbentuk tuduhan melulu. Ia disertai dengan fakta yang jelas, iaitu jumlah hutang, siapa yang mengurus, siapa yang menerima wang berbillion Ringgit, pelaburan yang dibuat, dimana wang ini disimpan, dalam bentuk apa.

7. Nama Jho Low disebut berkali-kali. Demikian juga nama-nama syarikat miliknya. Tuduhan dibuat berkenaan dengan pembelian rumah mewah olehnya di London, New York dan Holywood. Lepas itu rumah dijual kepada anak tiri Perdana Menteri dengan harga ratusan juta Ringgit. Sudah tentu ini tidak disebut dalam akaun 1MDB yang akan diperiksa oleh AG.

8. Pada mulanya duit Riza Aziz dikatakan warisan harta kekayaan dari keluarga Tun Razak. Kemudian dakwaan ini dinafi. Soalannya jika tidak dari keluarga Tun Razak dari mana datang wang yang banyak ini. Apakah ianya hasil dari perniagaan? Jika ya, apa perniagaan, dimana? Sudahkah cukai pendapatan dibayar? Kepada Kerajaan mana?

9. Pelaburan ratusan juta untuk filem “The Wolf of Wall Street” oleh Riza Aziz, anak tiri Dato Sri Najib datang dari mana? Filem ini tidak memberi keuntungan. Tidak mungkin filem ini membiayai rumah mewah yang dibeli dengan ratusan juta Ringgit atau Dolar Amerika.

10. Semua perkara-perkara ini tidak akan terdapat dalam akaun 1MDB. Tetapi rakyat ingin tahu kerana melibatkan Jho Low. Dan Jho Low disebut-sebut berkenaan dengan pengurusan 700 juta USD dari 1MDB.

11. Ada yang disebut berkenaan Petro Saudi yang juga menerima bayaran ratusan juta dolar dari 1MDB Benarkah Petro Saudi ini mendapat konsesi kawasan minyak dan gas di Argentina, di Turkmenistan dll. Apa buktinya? Benarkah JV dibuat dengan Petro Saudi sebelum ‘due diligence’ dibuat. Katanya sementara 1MDB melabur USD1 billion dalam JV dengan Petro Saudi, tetapi Petro Saudi tidak melabur satu sen pun. Apa jadi kepada wang IMDB dalam JV tidak jelas.

12. Apa sebabnya lebih dari 6 billion Ringgit (Dollar) disimpan di Cayman Island? Kerajaan tidak pernah simpan duit di lain negara selain pembelian bond. Apakah bond dibeli? Apa hasilnya?

13. Katanya wang sebanyak USD1 billion sudah dibawa balik dari Cayman dan disimpan dalam bank Singapura. Kononnya Bank Negara menjadi masalah kerana proses menyimpan wang yang banyak mesti melalui proses yang rumit. Bolehkan Bank Negara jelas kenapa menimbul masalah sedangkan 1MDB adalah syarikat Kerajaan yang dikuasai oleh Kementerian Kewangan. Jika mudah di Singapura kenapa susah sangat di Malaysia?

14. Urusan Kerajaan pernah dirahsia. Tetapi soal bayar balik hutang adalah public knowledge (dalam pengetahuan orang ramai). Orang ramai ingin tahu benarkah Ananda Krishnan memberi pinjam RM 2 billion untuk bayar faedah ini. Apakah faedah yang dikenakan oleh Ananda? Apa cara bayaran balik hutang Ananda? 1MDB dikatakan untung. Kenapa tidak dapat bayar faedah 2 billion Ringgit.

15. Juga diketahui umum ialah permohonan hutang sebanyak 3 billion dari Kerajaan baru-baru ini. Apakah Kabinet melulus pinjaman yang begitu besar ini? Apakah syarat yang dikenakan? Bagaimanakah hutang ini akan dibayar balik oleh 1MDB

Baca selanjutnya di SINI.
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...