DAP hari ini mendakwa pihak berkuasa tidak bersungguh dalam usaha menjejak 2 eksekutif kanan SRC
International Sdn Bhd (SRC International) bagi membantu siasatan
terhadap kes membabitkan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) itu.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mencari pengarah urusan SRC International
Nik Faisal Ariff Kamil dan pengarah Datuk Suboh Md Yasin, maka
sepatutnya mereka diletakkan dalam senarai orang dikehendaki Interpol.
Kedua-duanya dikatakan tidak dapat dikesan pada Julai selepas SPRM mula menyiasat syarikat itu.
SPRM juga sedang menunggu untuk merekodkan kenyataan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.
Mereka bertiga sedang dijejaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan
yang sedang berjalan ke atas wang RM42 juta yang disalurkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Mengulas perkara sama, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, tidak
masuk akal untuk Najib, dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 21
Oktober, mengatakan Nik Faisal dan Suboh sedang menyiapkan diri untuk
disoal SPRM secepat mungkin bagi membantu dalam siasatan.
"Persiapan apa yang mengambil masa lebih 3 bulan?" soal Teo.
Beliau berkata, menjadi perkara biasa bagi penjenayah dan pesalah
melarikan diri daripada siasatan dan mendesak kedua-dua Nik Faisal dan
Suboh tampil ke depan jika tiada apa yang hendak disembunyikan.
Teo berkata, beliau terkejut dengan kelonggaran yang ditunjukkan Kementerian Kewangan terhadap mereka berdua.
"Najib perlu mengarahkan Nik Faisal dan Suboh untuk memberi keterangan.
"Jika mereka enggan, sekurang-kurangnya tarik balik jawatan pengarah mereka. Jika tidak, ia hanya bermaksud kegagalan 2 orang SRC itu memberikan kerjasama adalah dipersetujui dan dibenarkan Najib,” katanya.
Ada apa-apa nak komen?
No comments :
Post a Comment