Friday, 11 December 2015

Adakah Ini Petanda BN Akan Kalah Teruk Di PRU Akan Datang?

Sekiranya Umno/BN mencatatkan prestasi buruk dalam pilihan raya umum akan datang, ia adalah kerana apa yang Tun Dr Mahathir Mohamad sedang lakukan sekarang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Salleh mengimbau apa yang berlaku pada pilihan raya umum ke-12, apabila Mahathir memberitahu rakyat, semasa siri jelajahnya, supaya mengundi pembangkang untuk "memberi pengajaran kepada BN dan Umno".

Oleh kerana tindakan Mahathir itu, katanya, dalam pilihan raya umum pada 2008, BN kehilangan lima negeri - kali pertama perkara seperti itu berlaku.

Katanya, perkara yang sama berlaku sekarang dan jika Umno dan BN terjejas dalam pilihan raya umum akan datang, maka ia adalah kerana apa yang Mahathir sedang lakukan.

"Jadi bagaimana Mahathir boleh bercakap tentang kesetiaannya kepada parti dan gabungan ini apabila tindakan beliau sebenarnya menjejaskan parti dan gabungan ini," kata Salleh (gambar) dalam blognya yang dimuat naik semalam.

Walaupun Mahathir berkata tidak salah untuk mengkritik, Salleh berkata, Mahathir semasa menjadi perdana menteri, tidak bertolak ansur dengan kritikan dari bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau dari Ketua Pemuda Umno ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Beliau (Mahathir) berkata, perlu ada platform yang betul untuk ini dan ia perlu dilakukan secara dalaman dan bukannya membuka pekung di dada di khalayak ramai.

"Apabila Mahathir menjadi perdana menteri, beliau tidak benarkan apa yang sekarang beliau kata mesti dibenarkan," kata Salleh.

Katanya, Mahathir juga sekarang menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak telah menstruktur semula sistem pengundian parti supaya hanya undi bahagian sahaja diambil kira.

Sebenarnya, kata Salleh, Mahathir yang memperkenalkan sistem undi bonus dan peraturan "tiada cabaran bagi jawatan nombor satu dan dua" untuk menghalang sesiapa mencabarnya.

Salleh turut menolak dakwaan Mahathir bahawa kesetiaan bekas perdana menteri itu terhadap parti tidak pernah goyah.

Mahathir, katanya, telah meninggalkan Umno semasa bertelingkah dengan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Oleh kerana perbezaan peribadi dengan pemimpin Umno, Mahathir meninggalkan parti. Jadi ada masanya apabila kesetiaan beliau kepada parti, goyah," katanya.

Mahathir menjadi pengkritik lantang Najib, terutamanya mengenai isu-isu 1MDB, yang diilhamkan Najib.

[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...