Friday, 11 December 2015

BRIM Akan Diberi Sebulan Sekali?

PETALING JAYA: Wakil dari Pahang mendapat tepukan gemuruh daripada para perwakilan apabila mengutarakan cadangan agar kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 setiap bulan.

Datuk Shahaniza Shamsuddin memberikan cadangan itu selepas melihat masalah kos sara hidup yang semakin tinggi pada ketika ini yang secara tidak langsung menghimpit kehidupan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Tak salahkan kalau kerajaan bayar penerima BR1M setiap bulan daripada setahun tiga kali seperti sekarang ini.

Sebulan RM500 untuk penerima BR1M dan kalau bayar selama 12 bulan, baru RM6,000 sahaja setahun. Bukan banyak pun jika nak dikira kos sara hidup yang tinggi sekarang,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut Shahaniza berpendapat, banyak perkara yang tidak kena dilakukan kerajaan berkaitan BR1M kerana ramai dalam kalangan pemohon yang sepatutnya mendapat hak mereka tetapi tidak menerima sebaliknya, pemberian itu diberikan kepada mereka yang tidak layak.

“Macamana perkara itu boleh berlaku, itu saya tak boleh nak cakap tetapi kerajaan perlu peka masalah ini sebab ianya akan memberi kesan buruk kepada kerajaan.

“Kerajaan dah cuba memberi yang terbaik tetapi akibat kesilapan begini, orang akan bercakap di sana sini tentang ketidakadilan pemberian BR1M oleh kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahaniza mengingatkan para menteri supaya berhati-hati apabila mengeluarkan apa-apa kenyataan kepada pihak media.

Ini kerana katanya, jika kenyatan tersebut dikeluarkan tanpa ada fakta yang bernas ia hanya akan menyusahkan mereka yang berada di Bahagian untuk menjawab soalan-soalan yang ditimbulkan daripada rakyat.

“Minta tolonglah kalau bercakap tu, cakap benda yang betul dan bernas. Janganlah buat kenyataan yang hanya membuatkan rakyat marah.

“Kami di kawasan susah nak menjawab apabila menteri membuat kenyataan yang berbelit-belit,” katanya.


[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...