Friday 23 October 2015

Lagi Petanda Hayat Politik Najib Bagai Dihujung Tanduk

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini dibatalkan, kali kedua selepas Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal disingkirkan daripada Kabinet.

Bagaimanapun, alasan pembatalan mesyuarat MT itu tidak dinyatakan dalam surat ditandatangani Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sudah pun diedarkan ke semua bahagian parti.

"Saya memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul," kata surat yang dilihat The Malaysian Insider.

Kali terakhir mesyuarat MT dibatalkan pada 29 Julai lalu, 2 hari selepas Muhyiddin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan sementara Shafie pula digugurkan daripada jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dalam rombakan Kabinet.

Mesyuarat berkenaan sepatutnya berlangsung ketika tekanan terhadap Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno semakin memuncak selepas 2 pemimpin tertinggi parti itu dilihat bersekutu dengan pengkritik nombor satu perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin dan Shafie mengadakan sidang media bersama Dr Mahathir, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Sanusi Junid dan Tan Sri Ong Tee Keat mengutuk penggunaan Akta Keselamatan dan Langkah-langkah Khas (Sosma) 2012 ke atas Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang yang membuat siri laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sidang media itu dianggap pengamat politik sebagai isyarat daripada Muhyiddin dan Shafie secara terbuka ingkar terhadap Najib yang memecat mereka daripada Kabinet pada 27 Julai lalu.

Mesyuarat yang dibatalkan ini juga sepatutnya berlangsung selepas 13 ketua cawangan Umno Teluk Kemang mengadakan sidang media mendesak Najib meletak jawatan selaku perdana menteri.

Sumber
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...