Saturday, 12 December 2015

Ramai Akan Makan Dalam Dengan Sindiran Halus Mukhriz Ini

Datuk Seri Mukhriz Mahathir menempelak perjalanan Perhimpunan Agung Umno yang setakat ini menurutnya memberikan "jawapan tidak relevan" kepada "persoalan-persoalan yang ditanya".

Bercakap pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal serta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pengerusi badan perhubungan Umno Kedah itu menggunakan perkataan "bengap" bagi menggambarkan individu yang gagal memberikan jawapan tepat kepada soalan.

"Saya dah dengar banyak ucapan dalam Perhimpunan Agung dan saya pun kadang-kadang terpaksa berhati-hati jugalah dalam sebarang ungkapan saya.

"Cuma mungkin sekadar memberi gambaran tentang pandangan saya, terpulang kepada saudara-saudari hendak tafsir bagaimana.

"Kalau saya ditanya soalan 'Apa nama kamu?' dan saya jawab saya dari Kedah dan orang itu cakap 'Tak, tak, apa nama kamu?' dan saya terus menjawab 'Saya dari Kedah'.

"Jadi, dia pun jadi bingung (dan fikir) dia ini tak faham soalan mungkin. Dia tanya lagi 'Apa nama kamu?' dan saya pun jawab 'Hmm, dia ini tak faham jawapan mungkin. Saya dari Kedah.'

"Jadi itulah masalahnya tuan-tuan. Soalan ditanya tetapi jawapan diberikan tak relevan dengan soalan.

"Jadi tak berapa gunalah kalau kita kata dia ini bengap atau apa. Tanya soalan yang sama berulang-ulang kali. Yalah, soalan yang sama ditanya berulang kali sebab jawapan diberi tak menepati soalan tersebut," katanya yang juga menteri besar Kedah disambut tepukan gemuruh kira-kira 1,000 orang hadirin pada majlis di sebuah restoran di Kuala Lumpur, malam ini.


Walaupun tidak menunjukkan perumpamaan itu kepada mana-mana isu, ucapan Mukhriz itu disampaikan ketika Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih gagal menjelaskan sumber wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Zahid semalam berkata wang itu datang daripada sekumpulan individu yang mewakili kerajaan asing namun hari ini berkata beliau bertemu beberapa individu yang mewakili seorang penderma.

Sementara itu, bercakap pada majlis sama Mukhriz turut menyeru mereka yang hadir agar terus melakukan pembaharuan Umno tanpa rasa gentar.

Menurutnya, Umno yang akan menyambut ulang tahun ke-70 akan datang ibarat seekor burung helang tua yang terpaksa mematahkan paruhnya yang tumpul bagi membolehkan paruh baru tumbuh.

Paruh baru itu, kata Mukhriz kemudiannya akan diguna untuk mencabut kuku lama helang itu yang tumpul bagi memberi ruang kepada kuku baru tumbuh.

Kemudiannya, helang itu terpaksa mencabut bulu badannya yang lama dan berat sehingga botak bagi memberi laluan kepada bulu baru untuk tumbuh.

"Kalau itu kita dapat lakukan, kita korban sebesar-besar korban, Insya Allah Umno akan muncul kembali sebagai parti yang cukup kuat.

"Dengan itu saya harap kita dapat bertekad, jangan gentar, jangan takut dengan bayang-bayangan dan pada masa sama kita terus berhemah cara kita.

"Kita tak perlu melalak di luar sana, tingkatkan tekanan kerana kalau kita seorang diri kita macam satu titik jatuh dalam lautan besar.

"Titik-titik ini akan menjadi arus. Arus akan menjadi gelombang, dan apabila gelombang ini bertemu dia akan menjadi satu tsunami yang begitu besar dan tidak ada satu tembok pun yang kita tak boleh jatuhkan," katanya. – 11 Disember, 2015.

[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...