Wednesday, 16 December 2015

Terkini Daripada Dr M : Ucapan Presiden UMNO

1. Ucapan Presiden UMNO dalam perhimpunan Agung UMNO 2015 amat mengecewakan. Ia tertumpu dan terhad kepada mempertahan diri sahaja.

2. Presiden mendakwa, ia adalah Gentleman, berjiwa besar, berani, tidak bacul dan tidak akan undur.

3. Perjuangan parti dan kerajaan pimpinannya tidak disebut. Juga tidak ada penjelasan berkenaan dengan masalah seperti 1MDB dan wang sebanyak 2.6 billion Ringgit yang terdapat dalam akaunnya di Arab Malaysian Bank yang perwakilan ingin tahu supaya mereka dapat terangkan kepada ahli-ahli lain dan orang ramai.

4. Ekonomi negara yang merosot, kejatuhan nilai Ringgit dan kesannya terhadap kos sara hidup dan kos import tidak diulas dan tidak ada cadangan bagaimana menangani masalah-masalah ini. Masalah yang disebabkan oleh GST juga tidak disentuh, hanya bagaimana kewangan Kerajaan diselamatkan oleh cukai berat yang dibebankan keatas rakyat ini.

5. Dasar pelajaran dan penggunaan bahasa pengantar yang tidak menentu tidak diulas.

6. Yang disentuh dan di tegaskan ialah bantuan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli-ahli kepada Presiden.

7. Bantuan yang disebut dalam perlembagaan sebagai peranan Timbalan Presiden dan Naib Presiden ditafsir semata-mata sebagai sokongan kepada Presiden. Sebenarnya bantu bermakna tolong. Dalam Bahasa Inggeris ia bermakna “assist” atau “help”. “Assistance” dan “help” bermaksud memberi pendapat dan nasihat berkenaan dasar dan tindakan yang dicadang oleh Presiden. Jika Presiden lemah, atau uzur maka Timbalan Presiden dan Naib Presiden perlu bantu. Jika Presiden salah, anggota lain perlu tolong betulkan.

8. Tetapi Presiden hanya menafsir bantu sebagai sokong. Demikian disebut dalam ucapan “kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan “sebagai dipanggil kita datang, disuruh pergi kita pulang – Begitulah luhurnya prinsip kesetiaan dan ketaatan.” Itulah sahaja yang dikehendaki oleh Presiden.

9. Semua anggota parti di semua peringkat tidak perlu fikir, tidak perlu memberi apa-apa sumbangan tetapi apabila disuruh datang, datang disuruh pergi, pergi. Apabila Presiden suruh jahanamkan parti pun jahanamkan. Jangan soal, jangan tegur dan jangan bantah. Inilah dasar dan kehendak Presiden Parti.

10. Jika tidak patuh kepada arahan Presiden atau menuding jari kepada kesalahan Presiden maka tindakan diambil untuk menggantung atau menyingkir dari parti.

11. Ugutan dibuat untuk polis memanggil untuk disoal dan dituduh .

12. Saya bukan sahaja di soal oleh polis tetapi sekatan yang dibuat terhadap saya lebih teruk daripada pemimpin parti lawan.

13. Semua dewan ditutup bagi saya sehingga saya tidak dapat bertemu dan bercakap dengan orang UMNO atau orang ramai. Hotel diberi amaran akan tidak diberi bisnes kerajaan jika saya diterima berucap dalam dewan-dewan mereka.

14. Timbalan Presiden tidak dibenar membuka mesyuarat sayap-sayap UMNO seperti yang sudah jadi tradisi parti. Timbalan Presiden juga dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Demikian Shafie Apdal, Naib Presiden juga tidak dibenar bercakap setelah dipecat dari jawatan menteri.

15. Inikah sikap Gentleman yang berjiwa besar. Ia lebih mirip sikap boss yang mengikat tangan musuh supaya ia boleh dibelasah tanpa dibalas. Dahulu mencabar Presiden adalah perkara biasa dan pencabar bebas bercakap dimana sahaja. Tetapi sekarang tidak.

16. Sekarang Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri akan berusaha untuk saya disoal lagi oleh polis kerana ucapan-ucapan dan tulisan saya dalam blog. Di bawah undang-undang apakah yang saya hendak disoal. Menegur Presiden Parti atau Perdana Menteri bahkan mendesak supaya PM letak jawatan tidak salah dalam negara demokratik. Kenapa daripada ribuan rakyat yang meminta Najib undur (sepanduk oleh penonton bola sepak Kedah VS Selangor yang menyuruh Najib letak jawatan) saya sahaja yang hendak disoal oleh polis. Prinsip keadilan berkehendak undang-undang dikuatkuasakan kepada semua orang tanpa diskriminasi.

17. Kerana dilarang, wakil-wakil UMNO di PAU tidak dapat bertanya berkenaan 1MDB dan duit yang ada dalam akaun Najib yang kononnya untuk UMNO. Duit dalam Arab-Malaysian Bank sebanyak 2.6 billion Ringgit telah dipindah ke Singapura. UMNO berhak mendapat laporan akan kedudukan duit ini. Dahulu pun derma pernah diserah kepada Presiden UMNO dan dimasukkan dalam tabung UMNO yang diletak di bawah jagaan pemegang amanah (trustee) UMNO. Duit ini diserah kepada Presiden baru UMNO apabila kepimpinan ditukar, sebagai milik UMNO dan bukan milik Presiden. Kenapakah UMNO tidak dimaklum dan 2.6 billion tidak diserah kepadanya apabila Najib mendakwa duit ini bukan untuknya tetapi untuk UMNO. Tidak menyerah adalah suatu kesalahan.

18. Lagipun bukti perlu dibuat berkenaan dengan cukai pendapatan yang dibayar semasa duit ada dalam akaun peribadi Najib. Ini juga sebahagian dari undang-undang Negara. Arab-Malaysian Bank didenda 50 juta Ringgit kerana kesalahan tertentu tetapi Najib sebagai pemilik wang yang banyak tidak dikena apa-apa bayaran setakat yang di ketahui. Dimanakah disebut bahawa Perdana Menteri kebal dari mematuhi undang-undang Negara.

19. Sesungguhnya ucapan Presiden UMNO dalam Persidangan Agong UMNO amat mengecewakan.

20. Ada pihak yang tidak faham sama sekali isu yang dihadapi oleh parti. Mereka memikir ini masalah perhubungan antara Presiden dengan Timbalan Presiden. Oleh itu jika bersalam-salam maka selesailah masalah.

21. Ini bukan masalah perhubungan atau persahabatan. Ini adalah isu salahlaku Presiden yang boleh menyebabkan parti kalah dalam pilihanraya.

22. Pilihan bagi parti ialah samada Presiden menjelaskan dimana duit yang hilang berada dan dikembalikannya kepada UMNO atau kerajaan atau Presiden letak jawatan.

23. Tetapi Presiden pilih untuk menghalang siasatan terhadap kehilangan berbillion Ringgit duit Kerajaan. Menggantinya dengan siasatan oleh orang yang tidak dipercayai oleh masyarakat tidak akan menghilangkan keraguan rakyat. Berkata bahawa siasatan sedang dijalan dan dia menjadi sub-judice dan tidak boleh dibincang tidak akan diterima sebagai benar oleh rakyat. Ia bukan sedang dibicara dalam mahkamah dan berbincang berkenaannya tidak menjadi sub-judice. Sudah tentu jika Presiden menjelas berkenaan wang 2.6 billion dan 1MDB, ia tidak menyalahi undang-undang. Tidak menjelas bermakna tuduhan adalah berasas. Dan sekali lagi parti akan menerima padahnya pada PRU 14.

24. Dakwaan oleh Presiden yang ianya akan “bermati-matian memimpin perjuangan yang mulia bagi membela orang Melayu dan Bumiputra” juga tidak dapat diterima kerana Najib menghapuskan Dasar Ekonomi Baru dan ia menekan kontraktor Melayu sehingga terpaksa gulung tikar. Biasiswa bagi penuntut Melayu dikurangkan.

25. Semua ini lebih mengecewakan orang Melayu, ahli UMNO sehingga mereka bersorak apabila Najib diminta letak jawatan.

26. Jika Najib letak jawatan ia akan disambut baik dan barulah benar ia seorang Gentleman yang berjiwa besar.


[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...