Sunday 3 January 2016

Terkini! Penjawat Awam Dapat RM500 Esok

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Bayaran khas sebanyak RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam esok, diharap dapat membantu mereka khususnya yang mempunyai anak bersekolah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Insya-Allah, kerajaan akan membuat bayaran khas sebanyak RM500 kepada seramai 1.6 juta penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan pada hari esok seperti yang diumumkan dalam ?#?Bajet2016.


"Mudah-mudahan dapat membantu terutamanya bagi yang mempunyai anak-anak yang akan memulakan persekolahan," katanya dalam catatan beliau di laman Facebook dan Twitter.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2015 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pemberian khas itu diberikan kepada semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat pada 2015.

Ia tertakluk kepada syarat bahawa pegawai telah berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut termasuk semua jenis cuti bergaji penuh dan cuti separuh gaji serta Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am dalam tempoh 1 Jan 2015 hingga 31 Dis 2015.

Pegawai yang layak dibayar pemberian khas itu termasuk pegawai lantikan tetap, sementara, perkhidmatan kontrak dan guru interim serta pegawai bercuti separuh gaji.

Pemberian khas kepada kakitangan awam itu melibatkan peruntukan sebanyak RM645 juta, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa membentang Bajet 2016 pada 23 Okt lepas.

-- BERNAMA


[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...