Monday 4 January 2016

Ketua Pesuruhjaya SPRM Pula Akan Diganti?

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, mungkin akan diganti kerana masalah kesihatan, menurut sumber, selepas agensi itu baharu saja menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri dan anak syarikat Kementerian Kewangan, SRC International.

Sumber berkata, khabar angin bertiup kencang di Jabatan Perdana Menteri dan dalam kalangan pegawai atasan polis tentang seorang pegawai kanan polis atau seorang timbalan pendakwa raya kanan dari Jabatan Peguam Negara mungkin akan menggantikan Abu Kassim untuk mengetuai SPRM.

Tahap kesihatan Abu Kassim kini sedang digunakan sebagai alasan dalam percubaan untuk menggantikannya,” kata sumber itu kepada The Malaysia Insider yang enggan dinamakan kerana sensitiviti maklumat itu.

Abu Kassim menjalani pembedahan kerana sakit belakangnya pada 7 Ogos lepas dan dilaporkan kembali bertugas pada pertengahan Oktober.

Bulan Ogos lepas menyaksikan beberapa pegawai SPRM menjadi sasaran polis dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber kebocoran maklumat berkenaan skandal kewangan yang didakwa melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini berlaku selepas kemunculan dokumen yang didakwa sebagai kertas pendakwaan terhadap Najib yang dirangka SPRM dan diterbitkan laman sesawang Sarawak Report.

Pegawai Cawangan Khas menyerbu pejabat pendakwa raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairy, merampas dokumen berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebuah syarikat cabang pelaburan negara yang diwujudkan Najib.

Sebelum itu, Penasihat Guaman SPRM Tan Sri Rasphal Singh dan Jessica Gurmit Kaur, seorang pegawai Jabatan Peguam Negara, juga ditahan untuk soal siasat berkenaan dakwaan kebocoran maklumat itu.

Tujuh pegawai SPRM juga disoal siasat pada masa sama, dan 2 daripada mereka dipindahkan jabatan serta merta selepas secara terbuka mengkritik tindakan polis menyoal siasat rakan sejawat mereka.


Sumber itu berkata, penggantian Abu Kassim dengan seorang pegawai polis untuk mengetuai SPRM akan menjatuhkan lagi semangat kakitangan agensi kerajaan itu dan hanya mengesahkan tanggapan negatif masyarakat terhadap kebebasan agensi itu.

Abu Kassim, yang menyertai Badan Pencegahan Rasuah pada 1984 yang kemudiannya dinamakan sebagai SPRM pada 2010, dilantik sebagai ketua pesuruhjaya agensi itu pada Januari tahun sama.

Dalam wawancara bersama Sinar Harian baru-baru ini, Abu Kassim berkata kontraknya akan tamat pada 2018 tetapi menjangka akan kekal memegang jawatan sehingga 2020, tahun beliau berusia 60 tahun, had umur wajib bersara untuk penjawat awam.

Di bawah Akta SPRM, Yang di-Pertuan Agong melantik ketua pesuruhjaya SPRM atas nasihat perdana menteri untuk jangka masa tertentu dan syarat pelantikan yang ditetapkan dalam surat pelantikan.

Abu Kassim sebelum ini berulang kali menegaskan siasatan SPRM ke atas derma RM2.6 bilion dan SRC International adalah bebas.

Beliau menyifatkan 2 kes itu sebagai kes paling mencabar dalam kerjayanya, dan memuji pasukan penyiasat kerana menjalankan tugas mereka sebaik dan seprofesional mungkin.

The Wall Street Journal (WSJ) pada awal Julai tahun lepas melaporkan pemindahan wang berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib.

SPRM kemudiannya mengeluarkan kenyataan duit itu ialah derma dari seorang penderma Timur Tengah, tetapi tidak menjelaskan tujuan wang itu diberikan atau ke mana wang itu disalurkan.

Pada 31 Disember, Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata dalam sebuah kenyataan, agensi itu sudah menyerahkan kertas siasatan ke atas derma RM2.6 bilion dan SRC International, selepas bercakap dengan lebih daripada 100 orang, termasuk penderma.

Sebelum ini SPRM menjelaskan yang mereka menyiasat SRC International berkenaan dengan dana RM4 bilion, dan bukan syarikat sarat hutang 1MDB.

Derma RM2.6 bilion juga adalah siasatan berlainan, tetapi Shukri berkata ia masih belum lengkap kerana hanya saksi yang berada di Malaysia ditemu bual.

Katanya, SPRM masih belum memperoleh dokumen dan kenyataan berkaitan transaksi kewangan di luar negara dan sedang meminta bantuan Jabatan Peguam Negara memperolehnya melalui bantuan perundangan bersama (MLA).

Najib, yang juga menteri kewangan, menafikan RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya ialah daripada 1MDB, dan wang itu tidak digunakan untuk kegunaan peribadi. – 4 Januari, 2016.

[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...