Monday, 7 December 2015

Yus Pernah Uji Nilai Persahabatan Ajak Shiro

SHAH ALAM: Pelawak Ajak Shiro mendedahkan bahawa Allahyarham Yus (Jambu) sempat menguji persahabatan mereka minggu lalu iaitu sebelum meninggal dunia dengan meminta dipinjamkan wang berjumlah kira-kira RM5,000.


Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak, 29, berkata, dia terkejut apabila Allahyarham menghubunginya untuk tujuan itu, namun memulangkan semula wang tersebut keesokkan hari.

"Minggu lalu dia telefon saya dan minta dipinjamkan dalam jumlah tertentu dan saya terus kata boleh dan masukkan ke akaun dia. Dia cakap "Ajak ni baiklah" dan berjanji untuk memulangkan setelah menerima bayaran program Super Spontan lalu.

"Keesokkannya dia datang jumpa saya dan memulangkan kesemua duit tersebut dan beritahu duit Supar Spontan dan masuk. Saya tidak syak apa-apa tentang itu,

"Bagaimanapun, saya baru dapat tahu daripada pihak Astro dia belum terima lagi duit Super Spontan seperti dikatakan pada saya," ujarnya kepada mStar Online.

Ajak ditemui pada Juara Parodi Dalam Kenangan Yus Jambu yang diadakan di Theater Shah Alam, malam Jumaat.

Allahyarham Yus Jambu sering menguji nilai persahabatan dengan rakan-rakannya.

Katanya, sehingga kini dia tertanya-tanya tentang kejadian tersebut dan menganggap apa yang dilakukan itu hanya untuk menguji persahabatan mereka.

"Saya akan ralat seumur hidup kalau saya tidak beri dia pinjam duit. Walhal saya tahu dia tidak gunakan pun duit yang saya beri itu dan memulangkan semula kepada saya," ujarnya.

Kata Ajak, itu bukan kali pertama Allahyarham menguji persahabatan sepanjang mereka berkawan, malah Allahyarham sering bergurau perkara-perkara berkaitan setia kawan antara dia dengan rakan-rakan pelawak lain.

"Dia seorang yang suka menguji biarpun dalam lawak jenakanya, dia pernah minta saya tolak keretanya yang rosak. Ketika itu masing-masing sibuk berlatih untuk konsert Maharaja Lawak Mega.

"Apabila saya sudah bersedia dan minta dia tunjukkan keretanya yang rosak dia boleh tunjuk kereta prop dia sahaja. Dia juga ada kata daripada situ dia tahu mana kawan yang boleh bantunya ketika susah," ujarnya.

Tambahnya, Allahyarham merupakan seorang rakan yang tidak ada tolok gantinya selain banyak memberi nasihat berguna kepada pelawak-pelawak baharu.

Pelawak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas di Hospital Selayang kira-kira pukul 12.30 pagi pada 30 November lalu.

Jenazah  dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Nesam, Batu Pahat, Kangar, Perlis.

[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...