Ribut dan puting beliung yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu telah menyebabkan sebahagian bumbung dan dinding rumah penduduk di situ diterbangkan angin kuat.
Seorang pekerja kilang, Amir Jamaludin, 36, berkata semasa kejadian, beliau berada dalam rumah bersama isteri dan dua anaknya sebelum tiba-tiba terdengar bunyi deruman angin di bahagian luar rumahnya.
"Tidak sampai dua minit terdengar sekali lagi bunyi angin kuat dan saya nampak bumbung rumah mula tercabut. Kami terus keluar untuk menyelamatkan diri," katanya di sini.
Katanya angin kuat dan hujan kira-kira 10 minit itu turut menyebabkan beberapa rumah jirannya turut rosak serta sebahagian bumbung sebuah bengkel kenderaan yang terletak berhampiran kawasan perkuburan bersebelahan masjid di sini turut diterbangkan angin.
Seorang lagi mangsa ribut yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat, 60-an, berkata bumbung di bahagian dapur rumahnya turut dibawa ribut dan sebahagian dinding kayu di rumahnya juga rosak akibat angin kuat itu.
"Masa ribut itu, saya baru balik dari pasar raya dengan isteri, waktu itu hujan dan kami nampak angin kuat serta saya nampak ia berpusing macam puting beliung.
"Kami terus tunggu dalam kereta kerana takut hendak keluar...nasib baik ketika kejadian tiada sesiapa di rumah," katanya.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ribut itu dan setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.
-- BERNAMA
[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?
No comments :
Post a Comment