Monday 4 January 2016

3 Jalan Keluar Cerai Taklik PAS Untuk Dr Hatta

Kelahiran parti serpihan Parti Amanah Negara (Amanah) mendedahkan kaedah PAS untuk memastikan pimpinan mereka untuk setia kepada parti Islam itu.

Salah satu daripadanya ialah baiah cerai taklik – sumpah dilafaskan wakil rakyat PAS Kelantan beberapa tahun dahulu yang memerlukan mereka menceraikan isteri sekiranya menukar parti.

The Malaysian Insider difahamkan, sumpah ini merupakan salah satu sebab mengekang simpatisan Amanah di kalangan wakil rakyat PAS Kelantan daripada menyokong parti serpihan itu secara terbuka.

Akan tetapi bekas kadi Kelantan percaya terdapat 3 cara untuk wakil rakyat Kelantan membebaskan mereka daripada sumpah itu dan meninggalkan PAS bagi menyertai parti-parti lain.

"Yang pertama melaksanakan cerai khul'ei iaitu isterinya memohon cerai dari suaminya dengan membayar sejumlah wang kepada suami. Selepas suami bersetuju, mereka boleh bercerai,” kata Che Ibrahim Mohamed kepada The Malaysian Insider.

"Selepas itu, mereka boleh berkahwin semula melalui satu akad nikah baharu tanpa diikat cerai talak 3 yang tidak boleh dirujuk (berkahwin) semula.”


Umat Islam yang bercerai talak 3 tidak boleh rujuk semula (berkahwin semula) dengan bekas isterinya kecuali selepas isterinya berkahwin dengan orang lain dan bercerai.

Che Ibrahim berkata, pendapat ini adalah popular di kalangan ulama fekah Islam dan diterima Mazhab Shafie yang diamalkan di Malaysia.

Jalan keluar kedua, katanya, adalah dengan meyakini dan percaya lafaz cerai taklik yang dilaksanakan mereka sebelum ini tidak sah kerana mereka tiada niat untuk bercerai dengan isterinya ketika membuat lafaz itu.

"Jika sumpah taklik itu tidak disertai dengan niat untuk bercerai walaupun dilafazkan begitu, ia satu sumpah yang ‘lagha’ atau terbatal dan tidak memberikan apa-apa kesan.

"Oleh itu, walaupun dia melanggar sumpah ini, dengan meninggalkan PAS, talak tidak jatuh ke atas isterinya.

"Ini pendapat 3 ulama besar iaitu Ibnu Hazmin, Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim dalam kitab-kitab mereka dan diterima pakai undang-undang keluarga Islam di Mesir," kata Che Ibrahim yang juga timbalan pengerusi Amanah Kelantan.

Jalan keluar ketiga pula katanya, ialah dengan menerima pakai pendapat lafaz cerai taklik ini dari awal lagi tidak sah dan haram.
"Ia bukan pendapat yang popular dan hanya diterima pengikut Syiah dan Az Zohiri," kata Che Ibrahim.

The Malaysian Insider dimaklumkan, antara 10 hingga 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Kelantan menyokong Amanah tetapi tidak mahu meninggalkan parti itu kerana sumpah ini dan beberapa isu lain.

Bagaimanapun, 2 bekas ahli Parlimen PAS, Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat) dan Dr Mohamad Hatta Ramli (Kuala Krai) tetap mengambil keputusan meninggalkan parti Islam itu.

Kamarudin menyertai PKR manakala Dr Hatta menyertai Amanah.

The Malaysian Insider masih mencuba untuk menghubungi kedua-dua bekas pemimpin PAS ini untuk mengetahui apa pendekatan yang diambil bagi melepaskan diri daripada lafaz baiah taklik itu.

Che Ibrahim percaya, kedua-duanya mengambil salah satu pendekatan di atas ketika membuat keputusan meninggalkan PAS. – 4 Januari, 2016.


[ Sumber ]
Ada apa-apa nak komen?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...